Keputusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melonggarkan syarat pendaftaran pemain nyata melegakan pasukan hoki padang Maybank untuk mengharungi Liga Hoki Malaysia (LHM).
Lapan pemain skuad itu terpalit dengan isu pelepasan yang berlangsung seretak dengan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Croatia dan saingan liga domestik.
KHM membenarkan setiap pasukan mendaftar 25 pemain berbanding 22 sebelum ini selain menghadkan jumlah perlawanan membabitkan Maybank apabila ketiadaan lapan tonggak tersebut.
Justeru, langkah kompromi itu disambut baik oleh ketua jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam, menjelang saingan LHM 4 Januari depan.
Dan dalam masa sama, semua pemain akan mengikuti persiapan bersama skuad kebangsaan di Eropah menjelang kempen Piala Dunia pada 2 hingga 9 Februari 2025.
"Alhamdulillah, kami mendapat keputusan positif yang menyaksikan situasi menang-menang selepas pertemuan pihak pengurusan dengan KHM.
"Sebelum ini juga kami melepaskan pemain untuk tugasan antarabangsa. Kami mendapat persetujuan bersama di mana KHM memberi beberapa cadangan dan kami menerima perkara tersebut.
"Sudah tentu perbincangan tersebut mengenai lapan pemain itu tatkala pihak kelab tiada halangan untuk pemain menyertai pasukan negara.
"KHM memberi solusi apabila pemain tersebut boleh bermain bersama kami," katanya di Nadi Arena.
Najmi Iman
Thu Nov 28 2024