Kurang 24 jam perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix di Bandar Medini Iskandar berlangsung.

Pemilik Pasukan Brothers 7 Tech Racing, Narizman Madin, mengambil keputusan merehatkan Md Aiman Md Hafis dalam baki dua pusingan terakhir termasuk di Batu Kawan.

Bagaimanapun, faktor merehatkan pelumba tersebut enggan didedahkan bagi menghormati kontraknya yang masih bersama pasukan hingga hujung tahun ini.

Brothers 7 Tech Racing turut memasukkan dua nakhoda baru bagi memperkuatkan pasukan, iaitu Haidar Nur Akmal bagi menggantikan Aiman Hafis dalam kategori Wira KBS dan Muhammad Faiz Khairul Azmi dalam CP125.

"Apabila berlaku rombakan, kami utamakan disiplin kesetiaan, kejujuran dan amanah kepada pasukan. Ia perkara utama yang pasukan titik beratkan.

"Bergantung kepadanya, adakah dia mahu teruskan (berlumba) atau tidak. Sampai sekarang dia tidak datang berjumpa pengurusan Brothers 7 Tech Racing," kata Narizman di Nadi Arena sebentar tadi.

36 mata kini membezakan Syamil dengan pencabar terdekat di tangga kedua, Md Izam Ikmal, tatkala kempen musim ini berbaki dua lagi pusingan .

Syamil turut memiliki momentum selepas dinobat juara perlumbaan CP125 dalam pusingan ketujuh dan lapan.

"Saya beri jaminan podium atau setidak-tidaknya menguasai kelompok lima terbaik.

"Saya mahu pamer satu kebangkitan bagi mencantikkan profil pasukan ini," katanya pula.