PETANQUE
Petanque perlu lebih banyak bakat baru
Selepas mencatatkan sejarah tersendiri di Kuala Lumpur, sukan petanque memerlukan kumpulan pemain yang lebih besar pada masa akan datang jika mahu terus kekal relevan memberikan saingan di pentas Sukan SEA.
Petanque berjaya mengatasi sasaran satu emas yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), malah ia menjadi pencapaian terhebat mereka sepanjang penyertaan dalam Sukan SEA.
Ketua jurulatih, Zani Lisa Mohamed, teruja dengan persembahan konsisten yang dipamerkan pemain perseorangan, Mohd Hafizuddin Mat Daud, yang mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.
Iklan
Malah, perancangan untuk menggandingkan Syed Ahmad Fikri Syed Ali dan Saiful Bahri Musmin dalam acara berpasangan lelaki juga memulangkan kejayaan istimewa.
"Persediaan atlet-atlet petanque bagi menghadapi Sukan SEA kali ini sangat bagus dan ia telah dibuktikan dengan pencapaian yang telah diraih," katanya.
Bagi menghadapi pelan jangka panjang, Zani mahu melakukan pencarian pemain lebih baik, terutama dalam membentuk skuad pelapis.
Jelasnya, populariti sukan petanque perlu diperluaskan, terutama ke Sabah dan Sarawak, dalam pencarian pemain lebih berkualiti.
Ini berikutan pasukan wanita dilihat masih kurang berdaya saing apabila sekadar menyumbangkan satu perak dan satu gangsa dalam temasya kali ini.
"Kami kekurangan pilihan untuk melahirkan pemain-pemain yang berbakat. Jika diberikan ruang dan peluang, tidak mustahil untuk mencungkil bakat baru."
Must-Watch Video