Skip to main content

Sukan Lain

Perak tepati ramalan muncul juara bola baling MSSM

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bola-baling-perak.jpg
Perak menebus kekecewaan tahun lalu untuk bergelar juara Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 Bawah 18 Tahun menewaskan Kelantan 17-13 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Dengan juara bertahan, Selangor, terkandas di peringkat kumpulan, Perak muncul pasukan pilihan dalam aksi final selepas garang mengalahkan Negeri Sembilan manakala Kelantan melepasi cabaran Pahang dalam separuh akhir.

Menurut jurulatih Perak, Phuah Lai Hock, keberkesanan program pelapis di negeri itu menjadi resipi kejayaan berterusan dilakar mereka, yang turut muncul juara kebangsaan di venue sama, tahun lalu.

Jelasnya, pengalaman dilalui begitu menyeronokkan selepas turun dengan status naib juara MSSM dan pemain-pemain juga berkeupayaan mengawal tempo permainan mengikut situasi berbeza.

“Kami sentiasa mengubah taktikal dan cara bermain bergantung kepada tahap pasukan lawan dan pemain-pemain mampu mengekalkan momentum.

“Ini adalah gambaran pasukan Perak dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018, malah akan diperkuatkan beberapa pemain lagi,” ujarnya.

Bagi kem Kelantan, mereka mempamerkan semangat juang yang tinggi selain menunjukkan peningkatan ketara selepas gagal melepasi peringkat kumpulan dalam edisi 2016.

Jurulatihnya, Syihabuddin Ismail, berkata kesemua empat pasukan Kelantan, iaitu bawah 18 tahun (lelaki dan perempuan) serta bawah 12 tahun (lelaki dan perempuan) telah mara ke separuh akhir.

“Ini adalah sebahagian projek jangka panjang di Kelantan, malah majoriti pemain akan dibawa untuk ke peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga pula dimenangi Pahang yang menewaskan Negeri Sembilan 18-7.

Keputusan Akhir:

Kelantan 13 Perak 17 (Lelaki B18)
Selangor 12 Negeri Sembilan 5 (Perempuan B18)
Sabah 20 Selangor 24 (Lelaki B12)
Perak 14 Kelantan 11 (Perempuan B12)

Advertisement

Must Watch Video