SUKAN ASIA 2018
Pencak silat: Fauzi berdarah pendekar
Skuad pencak silat negara membawa perkhabaran gembira apabila tiga wakil negara melangkah final hari ini bagi merebut pingat emas Sukan Asia 2018.
Pesilat negara sudah bersiap-sedia dengan apa jua tindakan provokasi penyokong tuan rumah dan keputusan wasit, terutama ketika separuh akhir kategori Putra F bawah 75kg.
Pada awalnya, keadaan nampak seimbang apabila pesilat negara, Mohd Fauzi Khalid, dan lawannya, Amri Rusdana, yang mewakili tuan rumah, Indonesia, mendapat mata memuaskan.
Iklan
Namun, situasi menjadi tegang apabila wasit tidak memberi mata terhadap beberapa serangan Fauzi hingga mengundang kemarahan pegawai Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).
Fauzi tidak mengaku kalah dan menyambung saingan menerusi serangan bertali-arus sebelum mengesahkan kemenangan, 3-2.
Kejayaan Fauzi itu menjadi pembakar semangat pesilat negara yang menggalas harapan menyumbang tiga pingat emas.
"Beberapa serangan dan jatuhan Fauzi tidak disahkan. Beberapa serangan yang nyata, tidak diberikan markah. Tapi kita terima perkara ini berlaku di tempat negara tuan rumah, (jadi) kita mesti buat 200 peratus.
"Jumlah serangan yang dibuat itu tak boleh yang macam nampak tak nampak. Ia mestilah serangan yang jelas, nyata dan markah yang tak boleh orang nafikan. Dan ini yang telah Fauzi buat," kata Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, sebagai menyindir juri yang berat sebelah.
Ini kali pertama silat dipertandingkan dalam Sukan Asia dengan Malaysia, Indonesia dan Vietnam turun sebagai pilihan merebut 16 emas yang dipertandingkan menerusi acara olahraga dan seni.
Juara dunia tiga kali, Mohd Al-Jufferi Jamari, meraih tiket percuma ke final kategori Putra E 70kg, apabila lawannya dari Kazakhstan, Zholdoshbek Akimanov, menarik diri kerana cedera. Wakil tuan rumah, Komang Harik Adi Putra, bakal menjadi halangan terakhirnya untuk meraih pingat emas.
Bagi saingan Putra kategori B 50kg, Muhammad Faizul M Nasir melangkah ke final dengan kemenangan 5-0 ke atas Dines Dumaan dari Filipina. Dia bakal berdepan Abdul Malik dari Indonesia bagi merebut emas.
Must-Watch Video