Wakil daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini melawat dan memberikan sumbangan kepada penyampai Astro Arena, Akbar Sahari, dan isterinya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi wakilnya, Farhan Fauzi, melawat Akbar dan isterinya di sebuah hospital di ibu negara.

Difahamkan, isteri kepada penyampai berita Nadi Arena itu sedang bertarung dengan kanser usus tahap empat.

"Alhamdulillah!

"Kami menerima kejutan daripada rombongan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang diketuai Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, saudara Farhan Fauzi, di hospital hari ini. Turut bersama ialah Setiausaha Akhbar, Tunku Nasrul Tunku Abaidah.

"Saudara Farhan menyampaikan sumbangan daripada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sekali gus membantu meringankan beban kewangan kami.

"Doa serta kata-kata semangat daripada saudara Farhan dan rombongan PMO amat dihargai.

"Turut bersama Exco Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM), Hafizal Hamad & Izhar Atan.

"Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim.

"Semoga Allah memberkati dalam segala urusan," coretnya dalam satu kiriman media sosial.

Kami di Stadium Astro mendoakan agar isteri kepada Akbar diberikan kesembuhan segera dan pulih seperti sedia kala.