Perejam skuad sepak takraw lelaki negara, Noraizat Nordin, berdepan detik sukar dalam kariernya apabila disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), sekali gus memaksanya melupakan hasrat beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Lebih perit, kecederaan itu turut menyaksikan pemain yang mesra disapa Ijat tersebut terpaksa mengetepikan peluang memperkuatkan Perak Bison dalam saingan CelcomDigi STL Premier musim ini.
Mengakui sukar menerima hakikat berkenaan, Noraizat bagaimanapun memilih untuk reda dengan ketentuan takdir dan menjadikan ujian itu sebagai cabaran yang perlu dihadapinya.
Pemain berusia 27 tahun itu dijangka menjalani pembedahan sebelum memulakan proses pemulihan yang dianggarkan mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga tujuh bulan.
Tempoh pemulihan yang panjang itu pastinya menjadi cabaran besar buat Noraizat, yang sebelum ini merupakan antara tonggak penting skuad negara, termasuk ketika membantu Malaysia meraih pingat emas di Sukan SEA 2025.
Bagaimanapun, Noraizat tidak menganggap kecederaan berkenaan sebagai noktah kepada kariernya, sebaliknya bertekad untuk kembali ke gelanggang dengan prestasi lebih baik selepas pulih sepenuhnya.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, memberi jaminan bahawa Noraizat akan menerima rawatan terbaik bagi membantunya menjalani proses pemulihan.
Namun, peluang pemain itu untuk kembali memperkuatkan skuad negara pada Sukan SEA 2027 masih bergantung kepada perkembangan pemulihan serta tahap kecergasannya kelak.
Buat masa ini, keutamaan Noraizat adalah menjalani rawatan dan pemulihan secara menyeluruh sebelum memikirkan langkah seterusnya dalam kariernya.