Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Asri, mengakui berasa gugup dan gementar dalam penampilan pertamanya di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, kesemua itu diketepikan anak jati Kedah berkenaan demi membuktikan dia juga mampu mencipta sesuatu dalam dua acara disertainya.
Nurul Izzah menamatkan saingan Keirin di peringkat repechage pusingan pertama untuk menduduki tangga ke-19 keseluruhan dan dia kemudian menamatkan acara pecut di peringkat repechage pusingan pertama untuk menduduki tangga ke-21.
Namun, pelumba berusia 20 tahun itu memecahkan rekod kebangsaan sewaktu dalam pusingan kelayakan acara pecut, di mana dia mencatatkan masa 10.790s
"Secara keseluruhan saya berpuas hati dapat memecahkan rekod kebangsaan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fariha Razak.
"Kali terakhir saya memecahkan rekod kebangsaan ialah pada 2022 dan kali ini, saya dapat memperbaharuinya.
"Pada awalnya memang saya rasa gugup dan rasa kurang yakin dengan diri sendiri tetapi apabila ramai yang datang menyokong dan memberikan kata-kata semangat, saya jadi positif.
"Apa yang saya fikirkan selepas itu adalah hanya mahu menjadi versi terbaik diri saya," katanya.
Muzaffar Musa
Sat Aug 10 2024