Skip to main content

Sukan Lain

Paris 2024: Kenapa Bangsa Korea sangat hebat memanah?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

p_photonews_arjuna-srikandi-korea-cantik-ganteng-s-0067f8.jpg
Kehebatan Bangsa Korea mendominasi acara memanah di Olimpik bagi kategori wanita tidak asing lagi apabila mereka kekal mendominasi pingat emas selama 40 tahun berturut-turut. 


1988: EMAS 
1992: EMAS 
1996: EMAS 
2000: EMAS
2004: EMAS 
2008: EMAS 
2012: EMAS 
2016: EMAS
2020: EMAS 
2024: EMAS 

Bagi penulis dan pengasas bersama The Patriots, Helmi Effendy di laman Facebooknya menyatakan bahawa Bangsa Korea tak pernah kalah dalam acara olimpik dalam sukan memanah selama 10 siri olimpik berturut-turut untuk kategori pemanah wanita mereka.



"Pasukan pemanah lelaki mereka pun boleh tahan. 2016, pasukan lelaki mereka sapu habis semua Emas dalam kategorii memanah. Jadi, apa sejarah disebalik segala keagungan mereka dalam sukan memanah ni?

"Pertama, kita kena tahu yang geografi Korea yang bergunung-ganang menjadikan aktiviti pertanian sukar dibandingkan dengan China yang memiliki tanah rata. Oleh itu, orang Korea purba perlu menguasai busur dan anak panah untuk memburu binatang dan mempertahankan diri.

"Sebab tu Korea mencipta sejenis panah versi mereka tersendiri yang kita panggil sebagai Gakgung, sejenis busur komposit tradisional Korea yang telah memainkan peranan penting dalam sejarah ketenteraan Korea. Busur ini terkenal dengan keupayaannya yang tinggi dan reka bentuknya yang unik, menjadikannya senjata utama dalam peperangan dan aktiviti berburu di Korea."

"Gakgung telah digunakan sejak zaman kuno dan telah terbukti menjadi senjata yang efisien dan "cost-effective" untuk mempertahankan Korea daripada serangan musuh, terutamanya tentera China dan Jepun. Rekod menunjukkan bahawa busur komposit telah menjadi senjata penting bagi orang Korea sejak abad ke-1 SM.

"Go Jumong, pengasas kerajaan Goguryeo, terkenal sebagai seorang pemanah yang handal. Legenda menyatakan bahawa baginda mampu menembak lima lalat dengan satu anak panah, menggambarkan kecekapan dan kemahiran beliau dalam menggunakan busur komposit.

"Pada zaman Goryeo, Raja Gongmin dikatakan pernah membunuh 70 askar Jepun secara bersendirian dengan memanah, dengan semua anak panah mengenai tepat ke kepala musuh.
 
"Menurut legenda, Yang Manchun menyelamatkan Goguryeo daripada serangan China dalam Pertempuran Ansi dengan menembak anak panah tepat ke mata Maharaja China, Li Shimin, yang mengetuai tentera China. 

"Yi Seong-gye, pengasas kerajaan Joseon, dikenali sebagai pemanah yang handal. Dalam satu pertempuran menentang lanun Jepun, Seong-gye, dengan bantuan Yi Bangsil, membunuh samurai muda bernama"Agibaldo" dengan dua anak panah berturut-turut; satu anak panah menyebabkan helmetnya tertanggal, dan anak panah kedua masuk ke dalam mulutnya."

"Sebab kemahiran luar biasa bangsa Korea, orang Cina kuno memberikan nama Dongyi (東夷) kepada orang-orang di Korea yang merupakan gabungan dua aksara untuk "besar" (大) dan "busur" (弓) menunjukkan betapa gerunnya bangsa Cina pada kemahiran memanah bangsa Korea ini!

"Pada tahun 1899, Putera Heinrich dari Prussia yang melawat Korea menyatakan kekagumannya kepada Maharaja Gojong ketika zaman Korea menjadi Empayar. Dia melihat demonstrasi bangsa Korea memanah, dan menyamakan keupayaan memanah Korea seperti bangsa Turki dan Hungary yang memang memiliki sejarah tentera pemanah yang hebat juga. Putera ini sempat mencadangkan kepada Maharaja menjadikan sukan Korea sebagai Sukan Nasional Korea. 

"Dan selebihnya ialah sejarah, bangsa Korea menjadikan sejarah sebagai inspirasi mereka dalam sukan memanah. Mereka bangunkan anak-anak bangsa mereka dari kecil dengan pelbagai program pembanguna, bagi membentuk generasi Korea seterusnya yang tak pernah kalah dalam acara memanah seperti nenek moyang mereka. 

"Legenda-legenda raja agung mereka dalam memanah masih segar. Mereka juga bangunkan sukan memanah selayaknya sukan ni dianggap sebagai sukan nasional negara, sukan yang menjadi identiti peradaban bangsa Korea!  - Kredit Helmi Effendy

Advertisement

Must Watch Video