OLIMPIK PARIS
Paris 2024: Bertrand Rhodict, Nur Shazrin dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang
Penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif telah diberi penghormatan sebagai pembawa bendera Malaysia di Sukan Olimpik XXXIII Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria, berkata kedua-dua atlet itu mewakili Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada atlet yang membuat penampilan sulung dan berpengalaman.
“Selepas meneliti atlet yang disenarai pendek dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jadual pertandingan, Lembaga Eksekutif telah memilih Bertrand dan Nur Shazrin untuk membawa Jalur Gemilang semasa perbarisan atlet.
Iklan
“Walaupun Bertrand dipilih berdasarkan penampilan sulung, Nur Shazrin adalah atlet berpengalaman yang akan membuat penampilan ketiganya. Dalam meraikan masa depan, kami menerima masa kini,” kata Tan Sri Norza.
Bertrand, atlet kelahiran Sarawak, akan membuat penampilan sulung di temasya itu selepas menjadi atlet Malaysia pertama yang layak secara merit ke Paris pada Julai 2023.
Bertrand merupakan rakyat Sarawak keempat yang diberi penghormatan selepas Kuda Ditta (Olahraga) di Rome 1960, Bryan Nickson Lomas (Akuatik-Terjun) di Athens 2004 dan Dato’ Pandelela Rinong (Akuatik–Terjun) di London 2012.
Bertrand memenangi pingat gangsa dalam 10m Platform Seirama Lelaki pada Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 yang diadakan pada 2023.
Pelayar kelahiran Johor, Nur Shazrin menantikan penampilan ketiganya selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020. Nur Shazrin yang memenangi pingat emas di Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, merupakan pelayar pertama dianugerahkan penghormatan membawa bendera semasa Majlis Perasmian.
Majlis Perasmian dijadualkan diadakan di Sungai Seine dengan bot membawa para atlet bagi setiap delegasi negara. Perarakan itu akan sampai ke penghujung laluannya sejauh 6 kilometer di hadapan Trocadéro, di mana unsur-unsur protokol Olimpik dan pertunjukan akhir yang masih ada akan berlangsung.
Setakat 1 Julai, kontinjen Malaysia bakal dibarisi 25 atlet daripada lapan sukan berbeza.
Slot universal antara pelari pecut Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy akan diputuskan minggu ini.
Must-Watch Video