Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, mengakui strategi yang digunakan dalam Tokyo 2020 akan sekali lagi menjadi pertaruhan dalam usahanya memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.
Ia menyaksikan The Pocket Rocketman mungkin terpaksa mengorbankan acara pecut demi misi emas pertama negara yang dipikulnya dalam acara keirin.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Azizulhasni, bagaimanapun, tetap ada misi dalam acara pecut, iaitu untuk memecahkan rekod kebangsaan dan Asia dalam penampilan Sukan Olimpik kelimanya.
"Alhamdulillah, lima kali ke Sukan Olimpik. Saya juga tidak sangka sebenarnya tetapi Alhamdulillah, syukur, dengan berkat dedikasi, kekuatan mental dan sokongan rakyat Malaysia, saya berada di sini hari ini untuk mendukung harapan rakyat Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pertama negara.
"Kalau difikir secara realistik, peluang saya untuk memenangi pingat lebih kepada acara keirin tetapi apa pun kami akan tetap beraksi dalam acara pecut terlebih dahulu.
"Kami hanya akan bersaing dalam acara pecut dan melihat kami berakhir di mana dan jika kami dapat berada di kedudukan tiga teratas, ia amat baik.
"Dan jika kami berpeluang untuk berada dalam penentuan pingat emas, kami akan meneruskannya.
"Tetapi saya percaya, dengan kondisi yang saya ada sekarang ini, mungkin saya boleh berada dalam lima teratas dalam pusingan kelayakan dan harap-harap saya dapat memecahkan rekod kebangsaan dan Asia," katanya.
Muzaffar Musa
Tue Aug 06 2024