Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, tetap memegang janji untuk misi membutirkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024 tatkala berdepan cabaran getir dalam acara keirin individu yang bermula malam ini.
Ia menyaksikan Azizulhasni awal-awal lagi sudah berdepan beberapa jaguh keirin dunia termasuk Matthew Glaetzer dari Australia sekali gus ibarat ulangan final Tokyo 2020.
Azizulhasni jadi harapan terakhir kontinjen negara untuk menjelmakan pingat emas di Paris setelah pemain badminton negara terlepas peluang melunaskan misi berkenaan.
Dan pada ketika Azizulhasni memikul tanggungjawab besar itu, ranjau berliku menantinya apabila berada dalam saringan maut untuk pusingan pertama perlumbaan.
Glaetzer dan seorang lagi finalis edisi lalu iaitu Jaïr Tjon En Fa dari Suriname antara halangan awal Azizulhasni selain tiga lagi pelumba handalan dunia Ota Kaiya dari Jepun, Rayan Helal dari Perancis dan Jeffrey Hoogland dari Belanda.
Rakan seperjuangan Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom juga berdepan tugasan mencabar apabila perlu berentap dengan beberapa pelumba yang menyerlah dalam acara pecut.
Antaranya Sam Dakin dari Australia, Mateusz Rudyk dari Poland dan Nicholas Paul dari Trininad and Tobago, namun Shah Firdaus kekal positif untuk bersaing dalam keirin.
Ammar Hakim
Sat Aug 10 2024