OLIMPIK PARIS
Paris 2024: Aisyah Zubir terselamat kemalangan di Belgium, sempat pulih untuk beraksi
Impian Nur Aisyah Zubir untuk menjadi pelumba wanita pertama negara beraksi dalam acara berbasikal lebuh raya di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 hujung bulan ini hampir berkecai apabila dia mengalami kemalangan ketika menjalani latihan di Belgium .
Bagaimanapun, Aisyah masih optimis mampu mempamerkan kayuhan terbaiknya selepas layak beraksi di Paris secara merit, di mana Malaysia muncul negara kedua terbaik Asia dalam kalangan negara yang belum layak.
Aisyah, dalam Nadi Arena sebentar tadi, memaklumkan bahawa tragedi yang tidak diingini itu berlaku pada 12 jun lalu tetapi dia terpaksa merahsiakannya dari pengetahuan umum kerana tidak mahu fokusnya terjejas dan yakin akan pulih sepenuhnya sebelum acaranya bermula pada 4 Ogos ini.
Iklan
"Kemalangan itu berlaku ketika saya sedang berlatih. Sewaktu saya sedang berkayuh, kereta yang sedang parkir di tepi jalan membuka pintu secara tiba-tiba," katanya kepada wartawan Astro Arena, Azlan Mubin.
"Sewaktu itu saya memang sudah terlalu dekat dan tak sempat untuk brek.
"Alhamdulilah, keadaan saya kini baik cuma sebelum ini, saya mengalami kesakitan di seluruh badan kesan daripada jatuhan itu.
"Baru-baru ini, saya ada melakukan rawatan dengan ISN (Intitut Sukan Negara) selama dua minggu dan Alhamdulilllah semuanya baik.
"Kini berbaki tiga minggu lagi menuju ke Sukan Olimpik, semuanya berjalan dengan baik dan saya akan menyertai satu perlumbaan setiap minggu," katanya.
Must-Watch Video