Skip to main content

Sukan Asia

Paragliding: MSAF sasar dua pingat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

paragliding.jpg
Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) menyasarkan dua pingat dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan walaupun ketiadaan khidmat atlet paragliding terbaik negara, Khaironahar Esa, yang mengalami kemalangan.

Khaironahar, 40, mengalami kecederaan tulang belakang yang serius ketika menyertai Kejohanan Paragliding Accuracy Piala Dunia Siri Ketiga di Kota Malang, Jawa Timur pada 13 Julai lalu, sekali gus terpaksa melupakan penyertaan dalam Sukan Asia.

“Mula-mula kami ingatkan kecederaan biasa tapi setelah pemeriksaan lanjut dilakukan oleh doktor di sana, Khaironahar mengalami kecederaan tulang belakang yang serius dan beliau berada dalam keadaan kritikal ketika ini.

“Kami akan menggantikannya dengan atlet simpanan tetapi paling penting semangat perjuangan terus membara dalam kalangan atlet kita untuk memburu pingat dalam Sukan Asia,” kata Presiden MSAF, Kapten Mohd Arif Ibrahim, dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Mohd Arif berkata Khaironahar sedang menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Dr Saiful Anuar di Kota Malang dan dipantau rapi oleh petugas hospital berkenaan dan penganjur pertandingan.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan skuad paragliding negara yang terdiri daripada lima atlet lelaki dan tiga atlet wanita akan menyertai kesemua enam acara dalam Sukan Asia melibatkan dua kategori, iaitu accuracy dan cross country.

Mohd Arif memaklumkan skuad paragliding negara akan menyertai satu pertandingan tempatan di Jugra, Banting, Selangor pada 4 Ogos ini sebagai persiapan terakhir menghadapi Sukan Asia 2018.

Acara paragliding Sukan Asia 2018 akan diadakan di Bogor, Jakarta dari 19 hingga 29 Ogos dengan menawarkan enam pingat emas.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video