Berita baik terus berkumandang dari venue powerlifting Sukan Par Malaysia (Para Sukma) MSN 2022 apabila atlet Sarawak, Bryan Junency Gustin, memecahkan rekod kebangsaan bagi kategiori bawah 80 kilogram dengan angkatan seberat 180 kilogram hari ini.
Ia menyaksikan abang kepada jaguh powerlifting negara, Bonny Bunyau Gustin, itu memenangi pingat emas dengan memperbaharui rekod 167 kilogram yang dilakukan atlet Kelantan, Mat Hussein Mat Nor, dalam edisi di Perak pada 2018.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syen Yeoh, Bryan Junency berkata: "Perasaan saya amat gembira hari ini kerana dapat memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Mat Hussein.
"Saya mencuba untuk melakukan angkatan 185kg tetapi ia agak terlalu berat.
"Sebelum acara hari ini, saya tidak memikirkan apa-apa, fikiran saya macam kosong, cuma memikirkan diri saya dengan besi sahaja.
"Selepas ini, saya akan pulang dan berehat untuk bersedia menghadapi kejohanan yang lebih besar tahun depan," katanya.
Sebagai rekod, seorang lagi atlet Sarawak, Azlan Mos, turut memecahkan rekod kebangsaan bagi acara B-59kg semalam.
Muzaffar Musa
Fri Nov 04 2022