SUKAN ASIA 2018
Papan selaju: Malaysia gagal beri saingan
Jurang yang terlalu besar dengan negara lain di benua ini menyaksikan barisan atlet papan selaju negara gagal menyerlah dan memberikan saingan dalam aksi final acara jalanan bagi kategori lelaki dan wanita, hari ini.
Malaysia meletakkan sandaran kepada Yazitu Amiru Basyir bagi kategori lelaki. Yaziru beraksi dalam saingan akhir selepas melepasi peringkat kelayakan untuk muncul lapan peserta terbaik.
Yaziru berusaha untuk beraksi dengan baik, namun kemampuan lawan dari Indonesia dan Jepun sukar ditandingi. Selepas tamat kesemua pusingan, Yaziru berjaya mengumpul 17.3 mata untuk menduduki tangga ketujuh daripada lapan peserta.
Iklan
Emas milik Jepun menerusi Ike Keyaki dan wakil Indonesia, Sanggoe Darma Tanjung, meraih perak sementara gangsa milik Eun Juwon dari Korea Selatan.
"Saya berpuas hati kerana mara ke final sebagai pencapaian peribadi. Saya telah melakukan trick yang lebih sukar bagi meraih mata yang lebih tinggi tetapi tidak menjadi," kata Yaziru.
Bagi aksi jalanan wanita, Fatin Syahirah Roszizi terlalu gugup sehingga gagal menampilkan aksi terbaiknya, dengan saingan Sukan Asia merupakan pentas paling besar disertai atlet berusia 16 tahun ini.
Pelbagai cubaan untuk melakukan aksi yang menarik di lapangan tidak menjadi dan dia sekadar mencatat 5.4 mata untuk menduduki tangga terakhir.
Must-Watch Video