SUKAN ASIA 2018
Papan selaju: Johari pertahan penyenaraian Fatin
Jurulatih papan selaju negara, Johari Fitry Khairuddin, mempertahankan penyenaraian Fatin Syahirah Roszizi dalam Sukan Asia 2018 biarpun aksinya dalam acara akhir jalanan tidak menghasilkan keputusan memberangsangkan.
Sejurus tamat aksi Fatin dalam saingan akhir itu, dia dikritik hebat dalam laman media sosial oleh peminat sukan papan selaju tempatan kerana gagal memberikan cabaran langsung terhadap tujuh lagi peserta.
Ada yang turut mempertikaikan penyenaraian Fatin ekoran beberapa aksi yang ditampilkan di lapangan kurang meyakinkan.
Iklan
Johari yang turut dikenali sebagai Joe Ipoh mempertahankan Fatin, dengan mengganggap anak buahnya itu terlalu gugup sehingga tidak dapat memberi aksi yang terbaik.
Fatin sekadar mencatat 5.4 mata untuk berada dalam kedudukan terakhir daripada lapan peserta bertanding.
Bagaimanapun, beliau akan cuba menaikkan kembali moral Fatin, yang baru berusia 16 tahun, memandangkan ini adalah pentas terbesarnya setakat ini.
"Setakat ini, dia yang terbaik. Sebelum saingan bermula, dia mengalami kecederaan buku lali sementara cuaca yang terlalu panas menggugat prestasinya," kata Johari.
"Saya agak gementar ketika beraksi dalam final. Saya akan mengambil pengalaman ini untuk menampilkan persembahan yang lebih pada masa akan datang," kata Fatin.
Malaysia masih boleh berbangga dengan seorang lagi wakil bagi kategori lelaki, Yaziru Amiru Basyir, yang menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam pusingan akhir acara jalanan.
Must-Watch Video