Skip to main content

Hoki

Oltmans sudah miliki pelan sokongan

roelant-oltmans.jpg
Pengendali skuad hoki kebangsaan, Roelant Oltmans, sudah menyediakan pelan sokongan mencari venue baru untuk sesi latihan The Malaysian Hockey Tigers setelah terpaksa akur apabila Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bakal ditutup 11 Februari ini.

Keadaan padang di kedua-dua belah Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil tidak berada dalam keadaan terbaik dan akan ditutup selama enam minggu untuk persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Akhir Siri Dunia pada Jun.

Ini bermakna Oltmans terpaksa mencari kawasan lain dan barisan pemain negara akan berlatih di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, Pahang.

Kem latihan itu akan bermula sejurus saingan liga tamat pada 2 Mac depan dan skuad kebangsaan akan berlatih selama empat minggu sebelum bermulanya Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mac.

"Kami mengetahui padang ini tidak dapat digunakan kerana kerja penambahbaikan bakal dijalankan. Kami sudah memiliki perancangan untuk meneruskan latihan di beberapa padang sebagai persiapan menghadapi kejohanan akan datang," kata Oltmans.

Dalam masa sama, Oltmans mengakui sedang merisik beberapa pemain yang sedang menyinar dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) untuk dibawa ke dalam skuad kebangsaan.

Ketika ini, terdapat seramai 26 orang pelatih dan Oltmans menjelaskan tiada keistimewaan diberikan kepada pemain sedia ada mahupun jaminan slot untuk menyarung jersi negara.

"Selepas tamat saingan LHM musim ini, kami akan menyenaraikan pemain yang bakal menyertai skuad kebangsaan dan setiap pemain harus menyerlahkan kemampuan mereka," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video