Skip to main content

Para ASEAN

Olahraga: Thavanesvaran sedia kembangkan karier

thavanesvaran-220917.jpg
S. Thavanesvaran memastikan kejayaan pingat emas ketiga peribadinya menerusi acara 200m T42/43/44 sebagai penutup manis buat kontinjen negara dalam Sukan Para ASEAN 2017 di trek Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.  

Tiga emas dan satu gangsa dalam penampilan sulung melayakkannya dilabel sebagai atlet pelapis berpotensi besar. 

Atlet kelahiran Segamat itu terlebih dahulu memenangi 400m T44 dan 100 meter T42/43/44.

Hanya berusia 17 tahun dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November depan, Thavanesvaran tidak menolak andai pihak Majlis Sukan Negara (MSN) berhajat untuk menyerapnya dalam skuad negara. 

"Saya akan cuba dengan lebih baik lagi. Kalau dapat, baru saya pergi (sertai skuad negara)," kata Thavanesvaran yang hanya mula berjalan ketika berumur tujuh tahun gara-gara masalah urat kaki kirinya. 

Dalam perkembangan lain, kegusaran Afiq Ali Hanafiah bertukar gembira apabila memungut emas kedua peribadinya dalam acara 200m T12 menerusi catatan 23.56s. 

Kecewa gagal mencuri slot dalam Kejohanan Dunia di London, Julai lalu, ekoran kecederaan, Afiq bertekad untuk meraih dua emas dalam temasya edisi ke-9 ini sebagai pembakar semangat untuknya tampil lebih berkesan dalam Sukan Para Asia di Indonesia dan Sukan Komanwel di Gold Coast, tahun depan. 

"Alhamdullillah, saya capai sasaran untuk meraih dua emas tetapi saya masih belum berpuas hati sebab tidak dapat memperbaiki catatan terbaik.

"Tahun ini, saya banyak mengalami kecederaan. Saya akan bangkit selepas Sukan Para ASEAN ini. Saya mengimpikan untuk menyertai Sukan Komanwel dan Sukan Asia," kata Afiq.

 

Advertisement

Must Watch Video