Skip to main content

Sukan Lain

Nixson mahu bukti kemampuan bersaing

nixson.jpg
Pelari pecut negara, Nixson Kennedy, menganggap dirinya masih relevan untuk terus menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan meskipun perlu menggandakan usaha bagi bersaing dengan barisan pelari muda yang semakin meningkat.

Nixson sudah berlatih di trek Majlis Sukan Negara (MSN) sejak berumur 17 tahun.

Sepanjang tempoh itu, ramai rakan seperjuangannya sudah meninggalkan balapan dan ada yang masih bergelut untuk kembali mencapai prestasi terbaik.

Antara yang sudah hilang dalam radar sukan negara adalah Eddie Edward Junior dan Harith Ammar Sobri.

Dalam usia yang mencecah 24 tahun, Nixson perlu memastikan dirinya sentiasa berada di prestasi terbaik memandangkan ramai pelari muda semakin menunjukkan peningkatan.

"Saya bersyukur kerana masih bertahan bergelar atlet pecut negara.

"Saya menerima saingan daripada barisan atlet pelapis dalam acara ini, saya cuba memberikan tumpuan kepada persembahan sendiri," katanya.

Cabaran untuk Nixson adalah untuk memastikan dirinya masih relevan.

Dia akan cuba untuk memecahkan rekod peribadi terbaiknya, iaitu 10.43 saat, yang dilakarnya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan pada Jun 2017.

Nixson bertekad untuk bukan sahaja beraksi dalam acara 4x100 meter, malah menjadi sandaran acara 100m dalam Sukan SEA Filipina, Disember ini.

"Persaingan dalam skuad negara adalah sesuatu yang positif dan saya menjangkakan catatan terbaik dalam kalangan atlet negara tahun ini," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video