MPFL
MPFL: Pahang Rangers hampiri gelaran juara
PAHANG RANGERS 7 JDT 3
Pahang Rangers mencerahkan peluang untuk mendakap trofi pertama Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) apabila membuktikan keunggulan mereka untuk bekalan selesa 7-3 ketika menyambut kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, sebentar tadi.
Segalanya berlaku dengan pantas apabila JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Awaluddin Mat Nawi yang menyudahkan sepakan penalti.
Iklan
Tuan rumah kemudian membalasnya dengan hantaran-hantaran pendek yang disudahkan Ahmad Haris Naim ke kiri gawang gol.
Dan Sufri Shamil pula bijak mencuri ruang untuk memberi kelebihan buat Rangers mendahului buat seketika.
Tempo permainan pantas dan cukup taktikal terus dipamerkan kedua-dua pasukan dan giliran JDT pula menyamakan kedudukan 2-2 hasil rembatan padu Abu Hanifah Hassan yang tepat menerjah gawang.
Namun, kesilapan penjaga gawang, Azrul Hadi, yang membiarkan gawangnya ternganga mengundang padah apabila Sergio Jamur dapat menghidunya untuk melakukan percubaan dari jarak jauh, sekali gus menuju bilik rehat dengan kedudukan 3-2.
Empat lagi gol berjaya dijana skuad bimbingan Gerard Casas itu dalam babak kedua sementara JDT cuba mengurangkan defisit jaringan dengan satu gol lagi menjelang final kedua di Pasir Gudang, 14 Ogos depan.
Must-Watch Video