Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mempamerkan rentak tunggangan memukau untuk menamatkan Grand Prix (GP) Malaysia di tangga ke-10 biarpun terpaksa memulakan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini di posisi terakhir.
Hafizh Syahrin, yang bergelut dalam sesi kelayakan semalam berikutan keadaan litar basah sehingga menyukarkannya melakar catatan memuaskan, berada di kelompok 15 pelumba sebaik pusingan pertama.
Kejayaan itu menyaksikan Hafizh Syahrin memungut enam mata, sekali gus bakal berentap dengan Franco Morbidelli -- yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 -- bagi menentukan gelaran Penunggang Baru Terbaik.
Hafizh Syahrin dan Morbidelli kini dipisahkan 10 mata menjelang GP Valencia pada 18 November ini.
Juara dunia, Marc Marquez, mengambil kesempatan ke atas kemalangan Valentino Rossi yang terbabas ketika mendahului perlumbaan yang berbaki empat pusingan untuk ditabalkan juara, disusuli Alex Rins dan Johann Zarco.
Ia kejuaraan ke-70 Marquez dalam semua kelas perlumbaan untuk menduduki tangga kelima rekod kemenangan terbanyak, sekali gus mendekati rekod 76 kejuaraan milik Mike Hailwood.
Sementara itu, gara-gara tunggangan berbahaya, pelumba Moto3, Adam Norrodin, dikenakan penalti, namun dia tetap memberi saingan hebat.
Biarpun selepas itu terjatuh ketika bersaing dalam 10 kelompok terpantas, dia bangkit untuk menamatkan perlumbaan di posisi ke-23 yang menyaksikan pelumba Sepanyol, Jorge Martin, mengesahkan gelaran penunggang terbaik Moto3.
Dalam saingan Moto2, Khairul Idham Pawi, yang mewakili Idemitsu Honda Team Asia menamatkan perlumbaan di posisi ke-17.
"Saya melakukan sedikit kesilapan dalam pusingan pertama sehingga memberi ruang kepada pelumba lain memintas saya.
"Tunggangan dan jentera saya pada hari ini lebih baik, oleh itu saya akan cuba yang lebih baik pada masa akan datang," kata Khairul Idham.
Keputusan MotoGP:
1. Marc Marquez (Repsol Honda)
2. Alex Rins (Suzuki Ecstar)
3. Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3)
4. Maverick Vinales (Movistar Yamaha)
5. Dani Pedrosa (Repsol Honda)
6. Andrea Dovizioso (Ducati)
7. Alvaro Bautista (Angel Nieto)
8. Jack Miller (Alma Pramac)
9. Danilo Petrucci (Alma Pramac)
10. Hafizh Syahrin Abdullah (Monster Yamaha Tech 3)
11. Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini)
12. Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS)
13. Stefan Bradl (LCR Honda)
14. Takaaki Nakagami (LCR Honda)
15. Bradley Smith (Red Bull KTM Factory Racing)
Penulis Jemputan
Sun Nov 04 2018