Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, percaya MotoGP Malaysia merupakan salah satu tarikan untuk membawa masuk pelancong dari luar negara.
Ia sekali gus mampu menjadi aset menjana ekonomi negara memandangkan penganjuran minggu ini sudah terbukti apabila memasuki edisi ke-25.
"Penjualan tiket naik mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini. Masih ada tiket yang boleh dibeli.
"Ikatan perjanjian di antara SIC dan pemegang hak komersial MotoGP, Dorna Sports, sampai 2024 dan kami telah mendapat persetujuan kerajaan untuk melanjutkannya hingga 2026.
"Setakat ini belum lagi mengadakan perbincangan untuk melanjutkannya melewati 2026, kami kena tunjukkan bahawa MotoGP sebagai pelantar yang amat bagus bukan sahaja menarik pelancong, (malah) melonjakkan ekonomi negara.
"Lebih ramai pelancong luar yang datang, kami juga menyumbang daripada segi cukai, kami juga dapat menjana banyak peluang pekerjaan.
"MotoGP merupakan antara pelantar sukan paling lama di Malaysia sejak 1991.
"Kami cuma perlu sambung kontrak dan tambah baik penganjurannya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Shaiful Shamsudin
Wed Oct 30 2024