Skip to main content

Sukan Lain

MOM umum had kelayakan atlet

silat.jpg
Tiada lagi penumpang dalam kontinjen negara ke sukan bertemasya apabila Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengumumkan had kelayakan kategori A sekurang-kurangnya ranking ketiga terbaik individu Asia Tenggara.

Jawatankuasa Eksekutif MOM sudah meluluskan cadangan panel bebas pemilihan atlet sukan bertemasya yang dipengerusikan Tan Sri Dr. M. Jegathesan.

Berdasarkan sistem kelayakan baru, atlet perlu menghuni sekurang-kurangnya ranking ketiga individu atau keempat acara berpasukan peringkat Asia Tenggara untuk layak secara automatik.

Ranking itu dinilai berdasarkan tempoh 12 bulan sebelum temasya bermula.

"Proses pemilihan ini diwujudkan pada 1983 dan selepas itu, ia telah diperbaiki pada 2006. Kini, ia terus ditingkatkan ke arah lebih baik berdasarkan Sukan Asia tahun lalu," kata Norza.

"Untuk atlet kategori B, apabila kami memulakan proses pencalonan, mereka perlu membayar 50 peratus kepada kami," katanya.

Tarikh tutup melepasi had kelayakan adalah pada September depan dan lebih menarik, persatuan yang bercadang menghantar atlet dalam kategori B perlu membayar 50 peratus kos keseluruhan mereka dan bakinya perlu dilunaskan pada waktu tersebut.

Ia bagi mengelak isu persatuan berhutang di mana ketika ini sebanyak lima badan induk masih belum melunaskan RM300,000 kepada MOM.
 

Advertisement

Must Watch Video