Skip to main content

Sukan Asia

Mendaki: Skuad negara ingin letak penanda aras

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mendaki.jpg
Cabaran skuad mendaki di pentas Sukan Asia Jakarta-Palembang adalah mengelak daripada berada dalam kelompok bawahan, malah cuba untuk menjadikan temasya ini sebagai medan memperkenalkan sukan ini kepada masyarakat umum bahawa ia bukan sekadar aktiviti riadah mengisi masa lapang.

Setakat ini, beberapa sukan yang baru disertai Malaysia dalam temasya ini gagal mencipta impak, antaranya bola baling dan mendayung.

Menyedari jurang besar di antara Malaysia dan negara lain dalam acara mendaki, skuad negara mempunyai misi berlainan, iaitu menjadikan Sukan Asia sebagai platform mempromosikan sukan ekstrem bagi menambat hati pencinta sukan tempatan.

Projek perintis yang kini dibarisi tujuh atlet negara bersama seorang jurulatih bakal bersaing dalam tiga acara, antaranya acara kepantasan individu, kepantasan berganti-ganti dan campuran yang menggabungkan tiga disiplin berlainan.

"Kami ingin meletakkan penanda aras bagi generasi akan datang memandangkan ini kali pertama mendaki dipertandingkan dalam Sukan Asia dan kami berpeluang menjalin hubungan dengan negara luar. 

"Kami berpeluang berkongsi maklumat dengan negara lain," kata atlet negara, Muhammad Taqiuddin Mohd Zulkifli.

Tambah seorang lagi atlet negara, Tan Jie Yi: "Kami kurang peluang untuk bertanding di luar negara. 

"Justeru, kami kekurangan pengalaman daripada negara yang lebih mengutamakan acara ini."

Meskipun saiz fizikal barisan atlet Malaysia kelihatan lebih kerdil berbanding lawan dari rantau ini, ia dilihat bukanlah faktor utama dalam menentukan kemenangan. 

Malaysia bakal membuka tirai saingan dengan pusingan kelayakan acara campuran lelaki esok. 

"Kami akan berusaha yang terbaik meskipun atlet negara lain memiliki fizikal yang tinggi dan besar. 

"Kami perlu kuatkan semangat walau apapun yang berlaku," kata pendaki negara, Ghalib Mohd Azim.

Advertisement

Must Watch Video