Skip to main content

Sukan Asia

Mendaki: Jakarta 2018 penanda aras atlet negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mendaki.jpg
Sukan Asia Indonesia 2018 perlu dijadikan penanda aras untuk skuad mendaki negara sekiranya mereka ingin terus diberikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa selepas ini walaupun masih tidak meletakkan sebarang sasaran pingat di Jakarta.

Skuad mendaki negara diletakkan dalam kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk ke Sukan Asia.

Namun, mereka tidak diketepikan apabila Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju untuk membantu sukan itu daripada segi peruntukan memandangkan tiada temasya besar yang boleh menjadi penilaian kepada sukan ini yang tidak mempunyai perbelanjaan mencukupi untuk ke Jakarta.

Naib Timbalan Presiden Persekutuan Mendaki Malaysia (PMM), Mohd Akbal Amin Asain, menganggap bantuan daripada MSN sememangnya diperlukan kerana mustahil untuk mengharapkan peruntukan daripada PMM sahaja.

Apatah lagi ini adalah penyertaan julung kali dalam Sukan Asia untuk sukan mendaki dan barisan atlet tidak akan mensia-siakan peluang keemasan ini bagi memastikan mereka terus disokong oleh MSN sekiranya meraih keputusan memberangsangkan di Jakarta.

"Terdapat peningkatan dalam mutu atlet sejak kebelakangan ini tetapi kami masih lagi tidak dapat menyertai kejohanan di luar negara," kata Akbal.

Jika dilihat persiapan atlet, mereka dalam persediaan terbaik walaupun tidak banyak menyertai kejohanan di luar negara.

Malah, latihan pusat juga dilakukan di Malaysia dengan ada beberapa atlet yang masih kurang berpengalaman beraksi dalam temasya besar.

Berdasarkan ranking, Mohammad Taqiuddin Mohd Zulkifli antara yang paling menyerlah dalam pasukan, apatah lagi selepas dia meraih tempat lima terbaik dalam kejohanan jemputan mendaki di China, tahun lalu.

Taqiuddin, bagaimanapun, tidak melihat dirinya terlalu yakin untuk membutirkan pingat tetapi hanya mengharapkan persiapan terus berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan saat-saat akhir berlaku.

"Persiapan saya dan pasukan berada di bawah MSN dan PMM. Usaha ini akan membantu kami meningkatkan lagi mutu persembahan," kata Taqiuddin.
 

Advertisement

Must Watch Video