SUKAN ASIA 2018
Memanah: Skuad negara berkobar-kobar buru medal
Skuad memanah negara bertekad untuk tampil dengan prestasi lebih baik dalam Sukan Asia Indonesia bulan depan selepas kecewa acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.
Secara tidak langsung, mereka akan cuba untuk memperbaiki pencapaian satu pingat perak yang diraih dalam edisi empat tahun lalu di Incheon, Korea Selatan.
Saingan di Incheon menyaksikan skuad memanah recurve lelaki negara yang diketuai Khairul Anuar Mohamad cemerlang apabila mara ke final sebelum tumpas kepada Korea Selatan.
Iklan
Selain Khairul Anuar, turut berada dalam skuad negara ketika itu ialah Haziq Kamaruddin serta Atiq Bazil Bakri.
Sudah pasti pencapaian itu akan cuba diulangi di Jakarta bulan depan sambil mengharapkan gandingan yang ditampilkan kali ini lebih konsisten.
"Menerusi sistem program yang dijalankan, dari situlah ia membimbing kami di landasan kemenangan.
"Dalam Sukan Asia nanti, fokus awal kami adalah di peringkat kelayakan dan kami cuba mengelak pasukan Korea," kata Khairul Anuar.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi pemanah recurve negara, Akmal Nor Hasrin, mahu menandai penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia dengan persembahan lebih baik.
Dia antara yang menyerlah tahun ini dengan panahan konsisten dalam siri Piala Dunia, khususnya ketika di Shanghai pada April lalu apabila menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Oh Jin-Hyek dari Korea Selatan.
"Cabaran agak sukar memandangkan pasukan bertaraf dunia adalah terdiri daripada negara Asia seperti Korea, Jepun, Indonesia dan India.
"Bagaimanapun, ia bukanlah berat buat kami dan kami akan cuba yang terbaik," kata Akmal.
Sementara itu, dalam acara compound, harapan tetap ada buat pemanah negara untuk mencipta kejutan biarpun tidak banyak pertandingan disertai mereka tahun ini.
Salah seorang pemanah yang pastinya ingin membuktikan kemampuan adalah Alang Aqil Muhammad Ghazali susulan persembahan baiknya dalam temasya pra-Sukan Asia, Februari lalu.
"Kami akan cuba memenangi medal, tidak kisah medal apapun kerana ini penyertaan pertama saya dalam Sukan Asia.
"Berdasarkan pra-Sukan Asia yang lalu, saya meraih perak, namun pada masa itu, banyak negara tidak menyertainya.
"Oleh itu, saya tidak menaruh harapan besar tetapi kalau boleh, saya ingin dapatkan medal," ujar Alang Aqil.
Must-Watch Video