SUKAN LAIN
Masalah dalaman FAR paksa Amir bersara
Pelumba Forca Amskins Racing (FAR), Amir Mustafa Rusli, mengumumkan persaraannya selepas pasukan bertaraf benua itu berdepan masalah dalaman dan belum didaftarkan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim ini.
Amir pelumba kedua mengumumkan persaraan dalam tempoh tiga hari ini selepas Adiq Husainie Othman turut mengumumkan perkara sama kelmarin.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu, itu mengambil keputusan drastik berkenaan ekoran masalah dalaman FAR, sekali gus terpaksa mencari hala tuju baru.
Iklan
Apa yang pasti, perancangan itu memaksa Amir mengumumkan persaraan.
"Jika mereka menawarkan saya untuk kekal berkhidmat bersama pasukan itu sejak tahun lalu, kami mungkin boleh mengadakan lebih perbincangan.
"Saya ada mendengar penjelasan daripada pihak pengurusan pasukan bahawa mereka masih menunggu jawapan daripada pihak penaja.
"Jadi, saya ambil keputusan untuk bersara," katanya.
Amir juga sinonim dengan skuad kebangsaan dan pernah mewakili negara dalam Sukan Olimpik London 2012.
Pelumba berusia 32 tahun itu sedang menunggu tawaran rasmi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadi pengendali kebangsaan menjelang Sukan SEA Filipina, Disember depan.
"Sacara jujurnya, saya memang berasa sedih.
"Sukan berbasikal sudah menjadi sebahagian daripada diri saya.
"Jika diikutkan, saya masih mahu berkayuh lagi, namun memandangkan faktor usia yang semakin meningkat, saya terpaksa mengambil keputusan ini.
"Peranan utama pihak MSN adalah meletakkan saya untuk melatih acara ujian masa berpasukan dalam Sukan SEA Filipina 2019.
"Selain itu, saya juga perlu membimbing atlet dalam acara berpasukan wanita," tambahnya.
Must-Watch Video