Erik ten Hag berkata Manchester United 'belum bersedia' untuk pembukaan musim Liga Perdana Inggeris menjelang pertemuan dengan Fulham awal pagi esok.

The Red Devils mengharungsi pra-musim yang kurang cemerlang, menang dua kali dan tewas tiga daripada lima perlawanan, sebelum tewas menerusi penentuan penalti dalam aksi Perisai Komuniti kepada Manchester City hujung minggu lalu.

Ten Hag juga tidak dapat menggunakan skuad penuh ketika jelajah di Amerika Syarikat ekoran pemain yang diberikan rehat panjang selepas terlibat dalam saingan Euro dan Copa America.

Selepas mendapatkan khidmat Matthijs de Ligt dan Noussair Mazraoui Selasa lalu, pengendali kelahiran Belanda itu mengakui United tidak memperoleh masa yang cukup untuk menggarap perancangan terbaik menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris.

"Benar [pemain baru perlukan masa], mereka tidak memiliki pra-musim untuk mengenali pasukan, ia agak rumit," katanya.

"Skuad jelajah AS, kemudian ditambah dengan pemain yang beraksi di Euro dan Copa America serta pemain baru, kami akan membuat pasukan untuk musim baharu.


"Bagaimanapun, kami masih memiliki ruang, prinsip, dan kami perlu membuat permulaan bagi musim baru. Kami tidak boleh berselindung, kami perlu menanganinya.

"Kami belum mencapai 100 peratus, tetapi kami akan memperbaiki dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Melihat perkembangan pasukan dan pemain bagi mencapai sasaran pada penghujung musim ini."