Selepas berjaya dalam penganjuran Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia yang penuh gemilang, Malaysia nampaknya sekali lagi diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2025 buat julung kalinya.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) hari ini, keputusan tersebut telah mendapat kata sepakat oleh semua ahli gabungan menerusi pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan dalam mesyuarat di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Presiden Presiden ASTAF Abdul Halim Kader yang mempengerusikan Mesyuarat EXCO ASTAF di Kota Bangkok pada Jumaat lepas bagaimanapun mengharapkan agar Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan dan Majlis Tertinggi PSM akan mempertimbangkan tawaran tersebut dengan sebaiknya.

"Malaysia telah berjaya menganjurkan ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur dengan begitu cemerlang dan penuh gilang gemilang pada 16-26 Mei 2024 lalu.

"Komitmen tinggi, kesungguhan dan semangat jitu melaksanakan tanggungjawab yang telah dipamerkan oleh semua Jawatankuasa Pelaksana PSM melalui jaringan kolaborasi bersama pasukan ISTAF berjaya memastikan perjalanan pertandingan yang lancar, menepati waktu, mematuhi undang-undang dan peraturan serta tanpa timbulnya sebarang protes dari pengurus mahupun jurulatih."Jelas kenyataan tersebut.

Malah jelasnya lagi, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh juga memainkan penting dalam memastikan penganjuran pertandingan yang berprofil tinggi dapat dilaksanakan dengan jayanya selain dapat menarik perhatian dunia terhadap sukan sepaktakraw.

"Beliau sentiasa mempamerkan usaha gigihnya dengan hadir di Majlis Pelancaran Trofi Istaf World Cup Sepaktakraw dan juga telah turut sama menyuntik semangat kepada para pemain dan semua petugas di stadium serta terlibat secara langsung dalam upacara penyampaian hadiah meraikan kejayaan bersejarah skuad negara di podium.

"Apa yang lebih mustahak adalah keprihatinan YB Hannah Yeoh yang membolehkan PSM merealisasikan matlamat pelaksanaan penganjuran ISTAF World Cup Sepaktakraw melalui permberian geran penajaan sukan berjumlah RM 1 juta." Jelas ASTAF.

Menurut Abdul Halim Kader lagi, format dan tiga acara yang akan dicadangkan kepada Federasi Sukan Sea yang beribu pejabat di Kota Bangkok melibatkan acara Regu Berpasukan, Regu, Double dan Quadran.