Ratu lompat tinggi negara, Yap Sean Yee, menebus kehampaan dua tahun lalu sebelum mengakhiri saingan final lompat tinggi wanita Sukan SEA Filipina dengan pingat emas dalam aksi final di Stadium Olahraga New Clark City sebentar tadi.
Dua tahun lalu, Sean Yee, terpaksa menelan kepahitan gagal mencipta kejayaan di laman sendiri selepas terpaksa akur dengan gangsa.
Namun, kali ini atlet berusia 25 tahun itu jelas lebih bersedia untuk melakukan catatan 1.81 tetapi terpaksa berkongsi emas dengan wakil Thailand, Boonwan Wanida, yang turut mencatat mata sama sambil gangsa menjadi milik Pham Thi Diem dari Vietnam.
Dia juga mencipta sejarah selaku atlet sulung wanita negara memenangi emas lompat tinggi dalam kejohanan.
"Emas ini menggantikan kekecewaan yang saya alami dalam Sukan SEA sebelum ini. Namun, saya cuba pecahkan rekod kebangsaan, jadi saya agak kecewa," katanya.
Sementara itu, kuartet 4x100 meter lelaki memperbaiki pencapaian dua tahun lalu untuk menamatkan saingan final di tempat ketiga.
Kuartet yang dibarisi Nixson Kennedy, Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan dan Russel Alexander Nasir Taib mencatat masa 40.4 saat, sekali gus memperbaiki pencapaian tempat keempat di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
"Sebelum perlumbaan, kami sebulat suara bahawa biarpun tidak mengenali lawan tetapi seluruh pasukan perlu sepakat. Alhamdulillah, kami dapat mencipta sejarah walaupun baru berlatih dua hari," ujar Khairul Hafiz.
Kredit foto: Team Malaysia
Penulis Jemputan
Mon Dec 09 2019