HOKI
LHWM: TLHT yakin kejutkan Hockademy KL
Ketua jurulatih Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Nasihin Nubli Ibrahim, yakin dapat mengejutkan pendahulu Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM), Hockademy KL, dalam aksi ketujuh di tempat sendiri petang esok.
Ketinggalan lima mata dengan baki empat perlawanan, Nasihin berkata peluang masih terbuka buat TLHT memintas lawannya itu dan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Namun, katanya, TLHT perlu terlebih dahulu mengalahkan Hockademy KL selain berharap skuad kendalian Iman Gobinathan itu keciciran mata dalam perlawanan berikutnya.
Iklan
Kelebihan di tempat sendiri, jelas Nasihin, diharap memberi tuah kepada mereka selain menuntut anak-anak buahnya menebus kekalahan 1-2 dalam pusingan pertama.
"Tidak dinafikan Hockademy KL ada barisan terbaik dalam LHWM, antaranya Hanis Nadiah Onn serta pakar flik, Noraini Abdul Rashid.
"TLHT pula ada pertahanan terbaik, iaitu Siti Noor Amarina Ruhani. Jadi, kami cuma perlukan penyerang melakukan penyudah," kata Nasihin.
Kemenangan petang esok akan kembali menghidupkan peluang TLHT dan jika tewas, kelebihan lapan mata Hockademy KL nampak sukar digugat lagi.
"Pemain-pemain sudah makin serasi bermain di Batu Buruk ini dan kami akan ambil kesempatan untuk kejutkan Hockademy KL.
"Selepas tewas dalam pusingan pertama, saya beritahu, TLHT kena pastikan menang dalam semua perlawanan pusingan kedua," ujarnya lagi.
Editor: Nafis Abdullah
Must-Watch Video