HOKI
LHWM: TLHT hampiri Hockademy KL
TLHT 1 HOCKADEMY KL 0
Jaringan tunggal Siti Noor Amarina Ruhani memadai untuk Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) mengatasi pendahulu Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM), Hockademy KL, di Kuala Terengganu, petang tadi.
Tiga mata penting itu membolehkan TLHT mengurangkan kelebihan Hockademy KL kepada hanya dua mata dengan baki tiga perlawanan.
Iklan
Lebih manis lagi buat skuad kendalian Nasihin Nubli Ibrahim itu apabila menjadi pasukan pertama mencalarkan rekod kemenangan 100 peratus pasukan Hockademy KL musim ini.
Dalam aksi di Stadium Hoki Batu Buruk itu, pintu gol tuan rumah dicemaskan dengan pukulan sudut penalti daripada pakar flik, Noraini Abdul Rashid.
Kecemerlangan penjaga gol import, Guzal Bakhavaddin, menyelamatkan enam pukulan sudut penalti disusuli percubaan Hanis Nadiah Onn dalam suku kedua.
Siti Noor Amarina yang juga kapten skuad negara muncul wira TLHT selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-37.
Hasrat Hockademy KL untuk tidak pulang dengan tangan kosong terus dihampakan Bakhavaddin yang menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi bagi mengekalkan kedudukan 1-0.
"Perlawanan petang ini adalah yang terbaik daripada pemain-pemain saya kerana semuanya mengikut perancangan.
"Ketangkasan penjaga gol (Guzal) juga perlu dipuji kerana banyak kali menyelamatkan pintu gol kami.
"Saya harap TLHT dapat teruskan momentum, seterusnya memintas Hockademy KL dan mengekalkan kejuaraan liga," kata Nasihin.
"Kami ada banyak peluang terhidang dan sepatutnya boleh kekalkan rekod tanpa kalah.
"Begitupun, kegopohan tindakan penyudah selain aksi cemerlang penjaga gol mereka memaksa kami berputih mata," jelas jurulatih Hockademy KL, Iman Gobinathan.
Kredit foto: Pasukan Hoki Terengganu (THT)
KEPUTUSAN LAIN:
PDRM BLUE WARRIORS 2 PKS UNITEN 3
MSSSPP-PSHA 1 SABAH 1
Editor: Shaiful Shamsudin
Must-Watch Video