Penyerang PKS Uniten, Hanis Nadiah Onn, mengidam gelaran penjaring terbanyak Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2019 selepas mengungguli senarai penjaring dengan sembilan gol setakat ini.
Musim lalu, Hanis terpaksa berpuas hati apabila sekadar berkongsi gelaran penjaring terbanyak dengan dua lagi pemain, Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail dan Nuraini Abd Rashid, apabila masing-masing mencetak 14 gol.
Namun, Hanis tidak rela berkongsi gelaran tersebut musim ini apabila garang mencetak gol demi gol dengan yang terbaru ketika membantu pasukannya, PKS Uniten, membelasah KL Wipers 4-1.
Hanis, yang menyumbangkan dua gol untuk mengumpul sembilan jaringan, memberitahu Nadi Arena: "Sebagai penyerang, itu sememangnya menjadi tugas saya dan saya tidak begitu memikirkan mengenai gelaran Penjaring Terbanyak LHWM 2019 dan saya hanya tumpukan kepada soal melaksanakan tanggungjawab untuk pasukan.
"Selagi boleh saya akan memburu gol."
Pemain Harapan Asia 2016 itu masih menyimpan keyakinan tinggi bahawa pasukannya mampu mengekalkan kejuaraan liga meskipun ketika ini PKS Uniten berada di tangga ketiga liga apabila dibezakan lapan mata dengan pendahulu, Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT).
"Liaoning Infinite Space HC (LISHC), Terengganu Ladies dan PDRM Blue Warriors sememangnya pasukan yang hebat.
"Kami akan berikan aksi terbaik untuk baki dua perlawanan lagi dalam usaha meraih kedudukan terbaik," katanya.
Penulis Jemputan
Sun Feb 03 2019