HOKI
LHMW: Uniten Thunder terap aksi garang awal permainan
UNITEN THUNDER 9 MUTIARA IMPIAN 0
KPT-Uniten Thunder menggunakan Mutiara Impian bagi mencipta momentum garang awal permainan untuk merakamkan kemenangan 9-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Perlawanan -- yang menyaksikan Siti Nur Arfah Mohd Nor mencipta tiga jaringan menerusi pukulan sudut penalti dan dua gol padang -- itu melonjakkan mereka ke tangga teratas Liga Hoki Wanita Malaysia (LHMW) 2023, secara tidak langsung mengundang rasa puas hati ketua jurulatih, Izzwan Salleh, berikutan keberhasilan anak buahnya mengikut taktikal yang diterapkannya.
Iklan
"Kami akan ke Terengganu selepas ini untuk bertemu TLHT-MSNT pada Ahad ini.
"Ia satu perlawanan sukar dan kami memerlukan tiga mata.
"Jadi kami menggunakan perlawanan ini untuk (mendapatkan momentum) agar tidak terbawa-bawa dengan rentak permainan perlahan.
"Kami cuba dapatkan gelaran liga. Setakat ini positif dan terikat sama mata cuma dibezakan daripada segi jaringan dengan Negeri Sembilan.
"Kami akan fokus satu demi satu perlawanan.
"Kami kena menang setiap perlawanan bagi memberi terus tekanan kepada Negeri Sembilan," katanya sejurus wisel penamat.
Sementara itu, Young Tigress memperagakan aksi bertenaga untuk melakar kejutan 4-3 ke atas Negeri Sembilan hari ini.
Must-Watch Video