HOKI
LHM Wanita: PDRM mula langkah kanan
Skuad PDRM Blue Warriors meraih tiga mata berharga dalam perlawanan pertama Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 selepas menumpaskan KL Wipers 4-0 hari ini.
Skuad kendalian Zukhairi Ariffin itu bermula baik untuk menguasai perlawanan dan meraih gol pendahuluan menerusi Norbaini Hashim dan Nadia Abdul Rahman.
Ketinggalan dua gol, KL Wipers menggandakan asakan untuk memburu jaringan, namun segala usaha dinafikan oleh benteng PDRM yang jelas lebih ampuh untuk menafikan serangan lawan.
Iklan
Sebaliknya, PDRM yang menambah gol ketiga menerusi jaringan padang oleh Fatin Naimah Zaki sambil KL Wipers terus mensia-siakan peluang walaupun meraih beberapa pukulan sudut penalti.
Penjaga gol nombor satu Asia, Farah Ayuni Yahya, ternyata berada dalam kelas tersendiri untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi sebelum Nur Amira Syakirah Zulkifli mengesahkan kemenangan PDRM menerusi gol keempat.
"Untuk perlawanan pertama, syukur kami meraih tiga mata. Keserasian masih belum lengkap kerana ada pemain yang baru tiba. Namun, masih ada masa untuk mempersiapkan diri dan berlatih sebelum menghadapi perlawanan kedua," ujar Zukhairi.
Must-Watch Video