HOKI
LHM: TNB pertaruh kudrat tempatan jumpa THT
Ketua pasukan TNB, Syed Syafiq Syed Cholan, percaya skuad Terengganu Hockey Team (THT) menjadi pasukan yang harus dikalahkan menjelang cabaran pertama Liga Hoki Kebangsaan (LHM) iaitu penentuan trofi Piala Sumbangsih 2023.
Kedua-dua pasukan bakal berentap Khamis ini yang menyaksikan pemain import daripada Korea Selatan, Jang Jonghyun, yang dianggap flicker terhebat era ini kembali mewarnai kancah negara dengan membarisi pasukan Pantai Timur itu.
"Kami ada Amirul Hamizan sebagai pelari pertama untuk pasukan negara dan TNB, begitu juga Ramadan Rosli dan saya.
Iklan
"Kami pernah berdepan Jang beberapa kali memandangkan dia pernah menyertai UniKL dan THT juga sebelum ini.
"Dia sangat bijak dan berkemampuan mencari ruang.
"Jadi kami perlu bijak menutup pukulannya," katanya dalam Majlis Penyerahan jersi pasukan TNB dan TNB Thunderbolts di Ibu Pejabat TNB, Bangsar, hari ini.
Dalam masa sama, ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, percaya dengan kemampuan kudrat tempatan sepenuhnya musim ini di sebalik kebenaran merekrut semula pemain import tatkala bakal turun dengan reputasi juara bertahan sebagai Piala TNB.
"Kami perlu berfikir positif dan pemain gantian dapat bermain dengan baik dan menutup ruang yang ditinggalkan.
"Mereka merupakan pemain berpengalaman, pernah juarai liga dan menang keseluruhan.
"Kami perlukan pemain berpengalaman sebegini ketika perlawanan getir ketika bertemu Maybank dan THT," katanya pula.
Minggu pertama saingan bakal menyaksikan perseteruan di antara Nur Insafi menentang UiTM-KPT, manakala ATM akan membuka kempen berdepan Young Tigers di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Ia disusuli pertarungan TNB dengan THT pada sebelah malam.
Must-Watch Video