Skip to main content

Hoki

LHM: THT mahu manfaat kelebihan laman sendiri

tht.jpg
Saingan Liga Perdana Liga Hoki Malaysia akan membuka tirai secara rasminya esok dengan perlawanan merebut Piala Sumbangsih yang akan menemukan Kelab Hoki Terengganu (THT) dan UniKL di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Beraksi di laman sendiri pastinya menjadi kelebihan buat THT dan pengendali mereka, I.Vikneswaran, mahu faktor tersebut digunakan sebaik-baiknya oleh barisan pemain dengan memberikan persembahan serta tentangan terbaik walaupun menyedari pasukan lawan diperkuatkan pemain utama kebangsaan serta barisan pemain import ternama.

“UniKL mempunyai pemain hebat dan kami menyedari kekuatan yang dimiliki mereka di samping mereka turut mempunyai penjaga gol terbaik, iaitu David John Harte.

"Apa yang boleh saya katakan UniKL merupakan pasukan yang lengkap serta pasukan pilihan," kata Vikneswaran.

“Bagaimanapun, THT mempunyai rencana tersendiri untuk menghadapi mereka dan saya percaya dengan kemampuan  pemain saya untuk memberikan saingan terbaik.

“Beraksi di laman sendiri sememangnya merupakan satu kelebihan buat THT dan ditambah dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong tempatan, saya berharap ia akan dapat menaikkan semangat pemain untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan selain menampilkan corak permainan cemerlang,” tambahnya.

Tatkala THT sedang bersedia mengatur rencana untuk menghadapi UniKL, masalah kecederaan pemain dilihat menjadi cabaran utama buat Vikneswaran untuk memastikan skuad bimbingannya tidak terkesan dengan situasi tersebut.

“Sebelum liga bermula, kami sudah berdepan dengan masalah seorang pemain, iaitu Muhammad Firdaus Omar, patah jari dan kami kini masih tidak pasti dengan kedudukannya adakah dapat meneruskan saingan liga atau kami mungkin kehilangan khidmatnya.

“Selain itu, ada beberapa pemain turut mengalami kecederaan, namun tidak begitu serius dan apa jua keadaan yang menimpa pasukan ketika ini kami akan memastikan persembahan terbaik akan ditampilkan esok,” tambah Vikneswaran lagi.

Selain perebutan Piala Sumbangsih di antara THT dan UniKL, dua lagi perlawanan akan turut berlangsung esok. TNB akan bertemu UITM (6.00 petang, ) dan Maybank akan berdepan Nurinsafi/Kedah Hockey ( 8.00 malam) dan kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
 

Advertisement

Must Watch Video