HOKI
LHM: Stadium Hoki UiTM belum boleh digunakan
Ahli jawatankuasa teknikal Liga Hoki Malaysia (LHM), V. Rajamicham, berkata padang Stadium Hoki UiTM, Shah Alam tidak sesuai untuk menjadi venue kejohanan kerana masalah garisan D.
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan memutuskan status venue itu Khamis depan tatkala beberapa pegawai badan itu menjalankan pemeriksaan terhadap padang Stadium Hoki UiTM yang didakwa tidak rata.
Masalah wujud di beberapa bahagian yang sudah terkoyak, terutama garisan D, sehingga menyebabkan pergerakan bola tidak lancar, sekali gus menjejaskan rentak permainan.
Iklan
"Minggu lalu, pihak kontraktor dilaporkan telah hadir untuk membaiki garisan D. Jadi, kami datang ke sini hari ini untuk melakukan tinjauan dan kami mendapati ia masih belum selesai. Kami juga diberitahu bahawa kerosakan itu akan dibaiki lagi Khamis depan," kata Rajamicham.
"Kami sudah berlatih di sini dalam tempoh yang lama dan pemain memang telah menyesuaikan diri dengan padang. Cuma, diharapkan Khamis nanti masalah yang ada dapat diselesaikan bagi membolehkan kami bermain di gelanggang sendiri," ujar pengurus hoki UiTM, Ahmad Tarmizy Mohamed.
Skuad UiTM dijadualkan menentang juara Piala TNB, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di venue itu Ahad depan.
Must-Watch Video