Maybank harus menggunakan kesempatan yang ada apabila berbaki 24 jam sebelum pertemuan menentang Terengganu Hockey Team (THT) dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) 2025 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil esok.
Skuad kendalian Iman Gobinathan harus berwaspada ancaman serangan pasukan dari Pantai Timur yang akan menjadi igauan buruk menerusi gandingan adik-beradik, Faizal Saari dan Fitri Saari.
Maybank membuka kempen LHM dengan kemenangan 3-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.
Meskipun berhasil mendapatkan tiga mata penuh, realiti yang dihadapi mencerminkan prestasi permainan apabila Maybank tampak bergelut untuk mencari jaringan dan hanya melakar kebangkitan pada minit akhir.
Pemain import merangkap legenda Australia, Kieran Govers, menaruh keyakinan terhadap pemain kebangsaan, Najmi Farizal Jazlan dan Razie Rahim.
"Saya pernah bermain dengan mereka dan mempunyai kualiti yang baik sebelum ini.
"Rakan sepasukan tahu apa yang harus dilakukan. Saya cuma menyeru pemain untuk memberikan yang terbaik, jadi harapnya mereka dapat menjaringkan lebih banyak gol," kata juara tiga kali LHM.
"Secara umumnya, pemain Australia sudah mempunyai asas permainan di sana. Apabila dia (Kieran Govers) mendapat bola, dia tahu apa yang perlu dibuat.
"Pemain yang lain juga memahami situasi tersebut ketika dia sedang mengawal bola," kata penolong jurulatih, Azrul Effendy Bistamam.
Najmi Iman
Sun Jan 05 2025