HOKI
LHM: Matador buru kemenangan kedua, yakin tewaskan ATM
Matador Hockey Club tiada pilihan selain berazam untuk mencatat kemenangan kedua dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia (LHM) menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), esok.
Menurut kapten pasukan, Ahmad Butt, prestasi kurang memberangsangkan dalam beberapa siri aksi sebelum ini berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kehilangan pemain utama yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan masing-masing.
Begitupun, pertemuan dengan ATM bakal menyaksikan skuad kendalian K. Yogeswaran turun dengan kekuatan penuh.
Iklan
"Kami tidak menang dalam tiga perlawanan terakhir, tetapi pemain tempatan dan pemain muda menunjukkan aksi yang baik. Saya harap kami dapat bangkit.
"Perlawanan seterusnya pada 4 Februari sangat penting.
"Semua pemain sudah kembali, termasuk pemain Pakistan.
"Kami akan bekerja keras dan cuba mencatat kemenangan.
"Matlamat kami adalah untuk meraih kemenangan," katanya
Penyerang Matador, Hannan Shahid, menyeru rakan sepasukan untuk terus mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan esok.
Walaupun kombinasi pemain tempatan dan import masih dalam proses mencari keserasian terbaik, tanda-tanda positif sudah mula kelihatan dalam pasukan.
"Kami semua perlu berjaya bersama kerana ini adalah permainan berpasukan.
"Ia bukan hanya melibatkan tujuh, lima atau lapan pemain di padang, tetapi keseluruhan pasukan.
"Kombinasi kami semakin baik. Bukan hanya 11 pemain yang perlu beraksi dengan baik, tetapi kesemua 18 pemain harus menunjukkan prestasi mengikut perancangan dan struktur serta saling menyokong.
"Jika kami dapat lakukan itu, keputusan positif pasti akan menyusul pada masa akan datang," katanya.
Must-Watch Video