Ketua jurulatih Matador Hockey Club, K. Yogeswaran menyifatkan pasukannya tidak mempunyai masa yang mencukupi dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2025 menjelang perlawanan pertama bertemu Nurinsafi Sporting di Bertam, 15 Januari ini.
Tidak seperti pasukan lain yang sudah memulakan aksi sejak minggu yang lalu, namun skuad Matador belum memulakan sebarang aksi atas sebab kekangan beberapa pemain yang belum lagi melaporkan diri terutamanya tonggak import dari Pakistan yang akan memperkuatkan pasukan.
Begitupun, Yogeswaran tetap kekal optimis dengan keupayaan anak buahnya yang bakal menghadapi cabaran itu sambil meletakkan sasaran mengakhiri kancah selaku empat pasukan terbaik pada musim ini.
"Masa untuk kami bersedia adalah singkat kerana hanya lebih kurang 15 pemain tempatan sahaja turun berlatih, manakala pemain import baru sahaja tiba di Malaysia dua hari lepas"
"Walaupun tidak cukup masa, pemain import Pakistan adalah antara yang berkaliber, jadi mereka boleh membawa satu pembaharuan di dalam saingan liga"
"Saya tertarik dengan kebolehan pemain Pakistan ketika sesi latihan" kata K. Yogeswaran kepada wartawan Astro Arena, Najmi Iman.
Sementara itu, penyerang muda Pakistan, Abdul Hannan Shahid, mengakui teruja untuk memulakan aksi pertamanya dalam LHM 2025 serta tidak sabar untuk membantu pasukan Matador mencapai sasaran yang diletakkan.
Pemain berusia 20 tahun itu mahu menggunakan pengalaman bermain di Malaysia dalam siri Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah oleh kerana sudah mempunyai keserasian bersama rakan sepasukan dari Pakistan.
"Saya amat teruja untuk bermain bersama pasukan Matador serta rasa seperti kami adalah sebuah keluarga dan harap dapat pamer prestasi cemerlang di Liga." tambah Hannan Shahid.
Adli Aidy
Sun Jan 12 2025