ONE FC
Legenda MMA kagum perkembangan Johan 'Jojo' Ghazali
Legenda MMA, Demetrious Johnson, kagum dengan perkembangan petinju muay thai sensasi Malaysia, Johan 'Jojo' Ghazali di pentas One Championship.
Impact Arena Bangkok, Thailand menjadi medan pertembungan Jojo bertemu lawan dari Colombia, Johan Estupinan dalam saingan ONE 170.
Tewas menerusi keputusan pengadil, ia bukanlah dikira sebagai kegagalan, lebih-lebih lagi dengan usianya yang baru sahaja mencapai 19 tahun, masih banyak lagi ruang untuk Jojo memperbaiki segala kesilapan.
Iklan
Ini disokong bekas juara flyweight One Championship, Demetrious Johnson, yang sangat kagum dengan perkembangan Jojo ketika ini.
"Jojo sangat muda, cukup berbakat. Perjalanannya masih panjang dan nikmatilah perjalanan ini," kata jelas Johnson.
Tidak cukup dengan itu, ayah kepada Jojo, Sac Zulfikar Ghazali, menyifatkan kekalahan itu pasti akan memberikan pengajaran hebat buat anaknya sekaligus mengharapkan Jojo untuk kembali bangkit dengan cemerlang selepas ini.
"Johan telah membuat yang terbaik. Inilah sukan tempur, apa-apa sahaja boleh berlaku. Lawannya kali cukup berkualiti. Ini merupakan pengalaman yang berbeza dan dia akan cuba untuk meningkat naik bagi perlawanan akan datang," kata Sac.
"Yang penting, jangan mengaku kalah. Dia masih muda, semangatnya cukup luar biasa dan saya percaya dia mampu melangkah jauh pada masa akan datang."
'Jatuh sekali, bangun 10 kali', itu adalah apa yang perlu dilakukan Jojo selepas ini.
Walaupun tumpas, Malaysia tetap berharap untuk Jojo kembali bangkit dalam arena muay thai.
Must-Watch Video