Jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, mendedahkan bahawa cuaca hujan ketika beraksi menyebabkan dia tergelincir sewaktu melakukan lompatan keempat sehingga mengalami kecederaan ketika memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kelmarin.
Abdul Latif mempertahankan pingat emas acara lompat jauh T20 yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu apabila mencatatkan jarak 7.45 meter pada lompatan keduanya.
Bagaimanapun, ketika cuba melakukan lompatan keempat, kakinya tergelincir di papan loncatan dan tidak lagi dapat beraksi selepas lompatan kelima.
Atlet kelahiran Perlis berusia 24 tahun, yang tiba di tanah air dan dilihat berkerusi roda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, berkata kepada wartawan: "Sewaktu melakukan lompatan keempat, saya tergelincir kerana cuaca hujan menyebabkan papan loncatan basah.
"Selepas itu saya dapat rasa ada yang tidak kena di kelangkang saya.
"Saya mencuba juga untuk melakukan lompatan kelima tetapi ia semakin buruk," katanya.
Muzaffar Musa
Mon Sep 06 2021