Misi utama Soh Wai Ching adalah untuk merebut semula ranking nombor satu dunia serta memecahkan rekod kejohanan dalam setiap acara yang akan disertainya pada tahun 2025.
Wai Ching turut menyimpan hasrat untuk mengembangkan lagi sukan larian menara di Malaysia, dengan mewujudkan lebih banyak pertandingan bagi mengalakkan penyertaan dan kesedaran terhadap sukan ini.
"Bagi tahun 2025 misi utama saya adalah untuk kembali meraih ranking pertama dunia dan pecahkan lebih banyak rekod kejohanan yang saya akan sertai.
"Serta mahu wujudkan lebih banyak Larian Menara di Malaysia." katanya.
Dalam pada itu, pelari nombor dua negara, Muhamad Hazim Zuhaiori, berharap untuk bergandingan dengan Soh Wai Ching untuk kejohanan-kejohanan yang berlangsung pada tahun hadapan.
Malah, persiapan fizikal dan mental juga sedang dilakukannya dengan rapi dan tekun dimana dia berharap akan memperbaiki rankingnya yang kini berada di nombor ke-10 dunia untuk berada dalam kelompok lima terbaik.
"Persiapan saya 2025 adalah mahu selari dengan Wai Ching, saya akan bertanding di Eropah dan Asia juga tahun depan.
"Tahun depan saya mahu perbaiki ranking untuk berada di kelompok lima mahupun tiga terbaik di peringkat dunia." tambahnya.
Pihak penganjur pula mahu menjadikan acara Larian Menara Kebangsaan dengan lebih kerap dan merancang acara yang lebih besar pada masa hadapan, dengan dia komited menjadikan Wyndham Ion Majistic Hotel sebagai destinasi utama untuk acara larian menara tinggi itu.
"Kami teruja melihat jumlah penyertaan serta menggalakkan maklum balas mereka mengenai strategi serta persediaan untuk kejohanan ini.
"Kami baru memulakan tahun ini, dan mahu terus pandang kehadapan untuk menganjurkan kejohanan lebih besar pada masa akan datang." tambah Ketua Pegawai Operasi NCT Sdn Bhd, Chau Chun Hoo.
Saufi Tahir
Mon Dec 16 2024