SUKAN LAIN
Kumaresan: Atlet patut bebas tentukan hala tuju
Atlet perlu diberi lebih banyak kebebasan untuk menentukan hala tuju sendiri memandangkan karier mereka sangat pendek.
Pendirian itu dikongsikan bekas pelumba lebuh raya negara, M Kumaresan, yang melalui pengalaman menjadi rebutan antara negeri kelahirannya, Johor, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1989.
Menurutnya, hanya sebilangan kecil atlet negara yang mampu bertahan lebih dua dekad sedangkan majoritinya pula sekitar 10 tahun sebelum mengambil keputusan sama ada menyambung pengajian, mencari pekerjaan atau menjalankan perniagaan sendiri.
Iklan
"Kita sedia maklum jangka masa persembahan atlet tidak lama. Ada yang mampu bertahan 10 hingga 20 tahun.
"Untuk jadi juara pula akan mengambil masa yang panjang, 5-10 tahun baru jadi juara dunia. Selepas itu baru dapat penaja yang besar," kata pemegang sembilan pingat emas Sukan SEA itu.
Sehubungan itu, bukan satu kesalahan untuk atlet menentukan kehidupan masing-masing termasuk beralih kepada profesional dengan syarat haruslah mengutamakan kepentingan negara.
Menurutnya lagi: "Kalau dia dapat penaja yang bagus, mengapa tidak. Ini masa untuk mereka menentukan masa depan.
"Tapi mereka haruslah mengutamakan negara. Dalam kejohanan besar, sudah pasti mereka akan mewakili negara.
"Dengan campuran pemain profesional, sudah tentu pasukan negara akan beraksi lebih baik.
"Tetapi kalau persatuan bagi gaji dan pulangan yang bagus, mengapa tidak kekal?
"Kalau profesional boleh menjamin masa depan, tiada salahnya."
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Atlet Malaysia, Shalin Zulkifli, menganggap pertemuan Lee Zii Jia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini sebagai satu perkembangan positif berhubung isu perseorangan utama lelaki negara itu yang ingin meninggalkan badan induk berkenaan.
Apatah lagi isu ini membabitkan atlet yang dijangka bakal menjadi harapan pingat Sukan Olimpik Paris 2024.
"Sebagai atlet, mereka kena patuh (dengan syarat) untuk jangka masa tertentu.
"Mereka kena bincang, lagipun persatuan pun dah banyak melabur, sayanglah jika dia digantung dua tahun.
"Masih ada ruang perbincangan, carilah kaedah yang tidak rugikan kedua-dua pihak," katanya pula.
Must-Watch Video