Skip to main content

Sepak Takraw

Kuala Nerus pertahan kejuaraan Liga Sepak Takraw Terengganu

kuaal-nerus.jpg

Daerah Kuala Nerus mempamerkan keunggulan selepas mempertahankan kejuaraan Liga Sepak Takraw Terengganu (LST) dengan mengatasi cabaran tujuh pasukan lain dalam kejohanan yang berakhir di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kelmarin.

Pasukan itu mengumpul 17 mata selepas mencatat lima kemenangan dan dua keputusan seri, mengatasi daerah Marang yang terpaksa berpuas hati selaku naib juara, dengan mengutip 12 mata.

Tempat ketiga menjadi milik pasukan daerah Hulu Terengganu yang meraih 11 mata hasil dua kemenangan dan lima keputusan seri.

Menurut jurulatih Kuala Nerus, Rusli Mohd, kejayaan mempertahankan kejuaraan itu adalah di luar jangkaan selepas mendapat tentangan sengit sehingga ke hari terakhir kejohanan.

“Kejayaan ini cukup membanggakan kerana saya juga tidak jangka mampu mempertahankan kejuaraan liga, malah kami diberikan cabaran oleh pasukan dari Marang dan Hulu Terengganu.

“Pengalaman pemain-pemain pasukan ini menjadi pemisah kerana ada antara mereka adalah pemain yang berada dalam program latihan Sukan Malaysia (Sukma) serta menganggotai skuad Piala Emas Khir Johari negeri ini,” ujarnya.

Hasrat Kuala Nerus untuk muncul juara berganda, bagaimanapun, terbantut selepas tewas 1-2 kepada Hulu Terengganu dalam aksi final Piala Terengganu.

Regu elit Kuala Nerus, Irsyad Faiz Aziz, M. Afiq Abu Samad dan Rosman Mohd Sharif memberikan mata pertama selepas menang 22-20, 21-17 ke atas regu elit Hulu Terengganu, Md Farhan Noruwatan, Mohd Amirul Shafiq Mat Nor dan Safaruddin Abu Bakar.

Namun, regu bawah 19 tahun Hulu Terengganu yang dibarisi Che Ku Amirul Ariff Che Ku Azmi, Mohd Muslim Mohd Ramli dan Mohd Fakrul Razi Ismail bangkit untuk menang 21-18, 21-16 ke atas M. Aidil Haikal Ghani, Aliff Mursyid Rusli dan Mohd Ridhuan Sa’ari, sekaligus mengheret perlawanan ke regu penentuan.

Kejuaraan Piala Terengganu berpihak kepada regu Hulu Terengganu selepas gandingan Mohd Salim Said, Zulfazli Zulkifli, Md. Fakrul Azman Sharif dan pemain simpanan, Shahrol Azizi Abdullah menang 15-4, 15-10 ke atas regu Kuala Nerus, Mohd Azri Azir, Mohd Ridaudin Ghani, Mohd Hafiz Arif Ghani dan Hasmadi Wahab.

Advertisement

Must Watch Video