Skip to main content

Sukan Lain

Kontinjen negara tetap bersemangat dalam Universiade

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

17117hazally.jpg
Pertembungan tarikh Sukan Universiti Dunia (Universiade), 19-30 Ogos, dan Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos, tidak melunturkan keyakinan kontinjen negara untuk memburu emas sulung dalam temasya di Taipei itu. 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk, Pengurusan Kontinjen Universiade, Hazally Jali, pihaknya sudah mendapat kerjasama Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA daripada segi penjadualan atlet negara yang terlibat.

Beberapa atlet negara seperti Irfan Shamsuddin dan Fatin Nurfatihah Mat Salleh adalah antara yang terbabit dengan Sukan SEA Kuala Lumpur dan Universiade Taipei.

"Perbincangan sudah dibuat supaya mereka ini boleh bertanding di peringkat Universiade.

"Bagi saya, ia adalah kerjasama yang dibuat di mana pihak jawatankuasa penganjur pun sudah mengambil kira keperluan kami untuk menghantar pasukan yang agak kuat. Ia kerana Universiade ini, kami hanya berupaya menghantar skuad pelapis kedua atau ketiga," kata Hazally.

Di Taipei, kontinjen negara akan terbabit dalam enam acara, iaitu olahraga, badminton, memanah, golf, wushu dan bola sepak.

Acara badminton dan memanah bakal menjadi sandaran pingat kontinjen negara dalam temasya itu.

Ketika edisi 2015 di Gwangju, skuad bola sepak dibarisi pemain Harimau Muda tetapi kali ini pasukan negara akan diwakili 100 peratus pemain dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPT).

"Kami sudah mengambil kira bahawa kami mempunyai dua pasukan IPT yang bertanding dalam Liga Perdana mahupun Liga FAM.

"Ia menguatkan lagi pasukan kami yang turut terdiri daripada pemain yang terlibat dalam liga IPT pada tahun lepas," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video