Skip to main content

Hoki

KHM yakin skuad wanita ke Olimpik 2020

hoki-w.jpg
Di sebalik tumpuan kepada skuad lelaki negara, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sedang cuba meyakinkan Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa pasukan wanita juga mempunyai peluang sama rata untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain misi memastikan The Malaysia Hockey Tigres melayakkan diri ke Tokyo 2020, KHM juga menaruh harapan skuad wanita kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu berpeluang mencipta kejutan menjelang pusingan kelayakan di Ireland, Jun depan.

Antara persiapan awal adalah perangkaan jelajah Eropah sebelum bermulanya saingan itu, namun KHM mengharapkan bantuan kewangan daripada MSN sebelum perancangan lanjut dilaksanakan.

Selain tuan rumah dan Malaysia, lima negara lain yang turut terlibat adalah Ukraine, Scotland, Korea Selatan, Perancis dan Republik Czech.

"Ada beberapa cadangan yang kami ajukan kepada MSN. Kami perlukan sedikit bantuan peruntukan untuk beraksi di luar negara, khususnya Eropah, tetapi MSN akan meneliti perkara itu dan memberi keputusan dalam tempoh dua minggu lagi," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Turut dijelaskan adalah perubahan program skuad remaja yang ditukar menjadi Projek 2021 sejajar dengan perubahan tarikh kejohanan Piala Dunia Remaja yang sebelum ini dijangka akan berlangsung tahun depan.

KHM menegaskan Projek 2021 hanya akan bermula setahun sebelum atas dasar kekurangan dana dan tidak seperti dua program sebelum ini, iaitu Projek 2013 dan Projek 2016, yang bermula dua tahun lebih awal dengan sasaran layak ke Piala Dunia Remaja.

"Memang kami akan hanya bersedia untuk Piala Sultan Johor tetapi tumpuan khusus akan diberikan mulai 2020 di mana kami akan menghantar pemain keluar," tambah Subahan.

Advertisement

Must Watch Video