Skip to main content

Sukan Lain

Khairul Hafiz mahu berkelana ke Jepun

khairul-hafiz-jantan_2.jpg
Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, merancang program latihan bersama juara remaja dunia dari Jepun, Abdul Hakim Sani Brown, bulan depan selepas atlet itu dilihat berpotensi menjadi juara dunia, termasuk menggegar Sukan Olimpik.

Sani Brown dianggap antara pengganti terbaik pemegang rekod dunia, Usain Bolt.

Pelari berdarah campuran Ghana dan Jepun itu mara ke separuh akhir 100 meter Kejohanan Dunia di London, England, bulan lalu, meskipun baru berusia 18 tahun.

Dia memiliki catatan peribadi terbaik 10.05 saat dan dijangka mampu berlari di bawah 10s dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Faktor itu menarik perhatian Khairul Hafiz untuk berkelana ke Jepun, bulan depan.

"Kita tahu Sani Brown ketika di Colombia pada 2015, dia melakar catatan 10.25 saat pada usia 16 tahun. 

"Kita tahu Jepun memiliki keazaman tinggi dan jika saya diberi peluang berlatih di sana, saya akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin," jelas Khairul Hafiz.

Khairul Hafiz meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan catatan 10.38s, kejayaan sulung olahraga negara dalam tempoh 14 tahun.

Dia memiliki catatan peribadi terbaik 10.18s, juga rekod kebangsaan, yang dilakukan tahun lalu.

Khairul Hafiz pulang ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor untuk berlatih sebelum dijadual menyertai Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, England, Mac tahun depan.

"Kita telah menyenaraikan antara cadangan persiapan untuk menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel dengan salah satu daripada cadangan itu adalah berlatih di Jepun. 

"Kalau diizinkan, kami akan ke sana pada pertengahan Oktober ini," ujar jurulatih, Mohd Poad Kassim.

 

Advertisement

Must Watch Video